Sejak tahun 2003 saya dah tahu pada tahun 2020 tak ada kereta terbang.
Ataupun sekurang-kurangnya, tiada kereta terbang seperti yang divisualisasikan oleh artis-artis Wawasan 2020 semasa saya di sekolah rendah.
Sebabnya, tahun itu, saya mula belajar fizik. Saya mula faham konsep paduan daya; untuk ‘menerbangkan’ sesuatu kita perlu mempunyai daya angkat untuk melawan berat objek tersebut.
Dan reka bentuk kereta yang dioptimumkan untuk bergerak atas jalan tidak membenarkannya terbang dengan baik, walaupun tayarnya digantikan dengan kipas, roket, atau apa-apa sahaja imaginasi artis yang kurang arif tentang fizik.
Artis-artis tersebut tidak memikirkan satu faktor utama ini, iaitu bagaimana untuk menghasilkan daya angkat? Kapal terbang umumnya gunakan Prinsip Bernoulli, helikopter dan dron gunakan Prinsip Archimedes.
Akhirnya semua ‘kereta’ yang boleh terbang menjelang tahun 2020 bentuknya seakan-akan kapal terbang, helikopter, ataupun dron. Dan memang ‘kereta’ ini dipanggil dron.
Artis ialah artis, mereka boleh memvisualkan apa-apa yang mereka mahu, tapi akhirnya hukum fizik yang difahami ahli sains dan juruteralah yang memuktamadkan.
Alah, abad ke-18 dahulu pun, artis juga memvisualkan pada tahun 2000 posmen hantar surat pakai basikal terbang.
Oleh itu pada tahun 2020 ini, dekatkan diri dengan Sains dan Matematik untuk lebih memahami dunia dan membuat ramalan dalam kaca mata yang lebih realistik, umpamanya pada tahun 2050, jika penggunaan bahan api fosil masih diteruskan, 35% kawasan darat dan 55% populasi dunia akan terdedah pemanasan melampau yang boleh menyebabkan kematian selama 20 hari setahun.